Penerima lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya tiga bulan lalu akan mendapat dos penggalak.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata mereka akan diberikan dos penggalak jenis vaksin Comirnaty secara heterologous.
Katanya, sebagai permulaan, pelaksanaan pemberian dos penggalak bagi penerima vaksin Sinovac yang layak akan dimulakan pada 22 Okt ini secara berfasa di seluruh negara.
“Pemberian dos penggalak ini akan diterajui oleh pengamal perubatan swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.
“Individu yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera dan melalui pesanan ringkas kepada nombor telefon yang berdaftar bagi individu yang tidak mempunyai MySejahtera.
“Kaedah temujanji pemberian dos penggalak akan ditambah baik dari masa ke semasa dan tidak lama lagi penerima vaksin boleh membuat temujanji melalui sistem yang sedang dibangunkan oleh KKM,” katanya pada sidang medianya hari ini.
Sebelum itu, Khairy berkata pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara pada 13 Okt lalu dengan menggunakan vaksin Comirnaty.
Katanya, buat masa ini pemberian dos penggalak dilaksanakan bagi penerima vaksin Comirnaty sekurang-kurangnya 6 bulan yang lalu dengan keutamaan kepada anggota barisan hadapan iaitu petugas kesihatan dan keselamatan, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas dan individu dengan komorbid.
“Sehingga 19 Okt lalu, seramai 47,728 telah menerima dos penggalak,” katanya.
Khairy berkata pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, objektif pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 ialah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optima diperolehi oleh penerima vaksin Covid-19.

More Stories
Baca@Borneo Gerakkan Budaya Ilmu, Perpustakaan Jadi Pemangkin Inovasi dan Komuniti
Hormati Hari Ibadah: Madius Seru SPR agar Penamaan Calon dan Hari Mengundi Selaras Prinsip Rukun Negara
Kehadiran Madius Meriahkan lagi sambutan Hari Malaysia KRT Tambalugu