Pakatan Harapan (PH) menyokong penuh terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) .
Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH memaklumkan bahawa Kerajaan PH telah berusaha berbuat demikian tetapi tidak berjaya kerana mempunyai majoriti dua pertiga.
“Difahamkan Kerajaan berniat untuk membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu MA63 minggu hadapan.
“PH pada dasarnya bersetuju menyokong usaha Kerajaan ini memandangkan ia adalah sebahagian dari Perkara 5, Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan dan Kerajaan.
“PH tidak akan bermain politik tetapi akan berikan sokongan dua pertiga kepada pindaan Perlembagaan ini agar hak rakyat Sabah dan Sarawak dapat diperkukuhkan,” demikian menurut kenyataan itu.
PH dalam kenyataan tersebut turut menyuarakan harapan agar pindaan itu akan mempergiat usaha melaksana segala perkara yang termaktub di dalam MA63 demi menegakkan keadilan buat Sabah dan Sarawak.
“Pendirian ini adalah sebahagian dari usaha pimpinan Pakatan Harapan sejak sekian lama, termasuk dalam mengiktiraf Hari Malaysia seperti yang diangkat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008, serta pendirian DAP menerusi Lim Kit Siang di Parlimen yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 yang telah mengubah dan menurunkan status Sabah dan Sarawak dari ‘wilayah’ menjadi ‘negeri’.
“Pakatan Harapan akan sentiasa berusaha memperjuangkan hak dan keadilan buat Sabah dan Sarawak,” jelas kenyataan itu lagi.
Kenyataan tersebut dikemukakan bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Hj Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng; dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ