Ubat antiparasit, Ivermectin tidak akan disyorkan untuk dimasukkan dalam garis panduan rawatan Covid-19 sedia ada selepas didapati tidak mengurangkan risiko penyakit Covid-19 tahap teruk.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataan, hasil kajian I-Tech terhadap ubat antiparasit itu mendapati tiada perbezaan ketara didapati dari segi kemasukan ke ICU, penggunaan alat bantuan pernafasan mekanikal, pemulihan simptom, parameter ujian darah dan resolusi imbasan X-Ray dada.about:blank
Susulan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan agar Ivermectin hanya digunakan dalam kajian klinikal dengan pemantauan.
Hisham berkata, keputusan I-Tech juga selari dengan kajian berskala besar seperti Ivercor-Covid-19 dari Argentina dan Together dari Brazil, yang tidak menyokong penggunaan rutin Ivermectin dalam amalan klinikal rawatan virus berkenaan.
“Pasukan kajian I-Tech bercadang menghantar data kajian tersebut untuk diterbitkan di dalam jurnal ‘peer-reviewed’ bagi memberi maklumat tambahan kepada kajian-kajian ivermectin termasuklah meta-analysis,” katanya.
Beliau mengharapkan dapatan kajian tempatan ini dapat memberi pencerahan kepada pengamal perubatan di negara ini dan juga kepada orang ramai yang sering bertanya mengenai keberkesanan Ivermectin bagi tujuan rawatan Covid-19.
“Pengamal perubatan diingatkan untuk tidak mengesyorkan penggunaan Ivermectin termasuklah berkongsi pengiklanan mahupun penjualan secara haram ivermectin dengan tujuan merawat Covid-19 sehingga bukti saintifik yang lebih kukuh tersedia,” katanya.

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong