15 PATI baru mendarat di Tawau berjaya ditahan ESSCom

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Indonesia menerusi serbuan Op Cegah Pati (OCP) Daratan, di sini, malam tadi.

Kesemua mereka yang dipercayai menaiki bot dari Indonesia, mendarat dan ditemukan bersembunyi di sebuah rumah berhampiran Jalan Kuhara, di sini, manakala seorang lelaki tempatan turut ditahan bersama-sama PTI terbabit, menurut Sabah360 Online.

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, tangkapan terbabit terdiri 11 lelaki dewasa, tiga wanita dan dua kanak-kanak berumur antara satu hingga 58 tahun ditahan kira-kira jam 9.45 malam.

“Bertindak atas maklumat awam ESSCom bersama pasukan keselamatan OCP Daratan terdiri Rejimen ke-2 Askar Melayu Diraja Angkatan Tentera Malaysia, Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Pasukan Polis Marin, RELA dan anggota polis tugas am mengesan 16 individu dengan barang-barang peribadi, dan tanpa dokumen pengenalan diri dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua PTI berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Ahmad Fuad berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil usaha dan kerjasama erat agensi keselamatan dan masyarakat setempat dalam menggagalkan taktik PTI menggunakan lorong tikus untuk memasuki negara ini secara haram.

Beliau berkata, ESSCom dengan kerjasama semua agensi keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) komited dalam menjalankan tugasan mengawal keselamatan sempadan negara bagi mengekang kemasukkan PTI ke Sabah dan sekaligus memutuskan rantaian wabak COVID-19 melalui OCP secara berterusan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *