Felicia (tengah) bersama para pegawai KPLB Sabah
PITAS: 1 Mei – Seramai 26 usahawan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyertai pameran dan jualan sempena pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, di Dataran Bengkoka, di sini, pada Rabu (hari ini).
Mereka mempamerkan pelbagai produk, termasuk manik, minyak kelapa dara, tenunan, tempurung kelapa, sigar, rinango atau anyaman ribu-ribu, bakul, ban, keropok lekor, kosmetik dan kueh tradisional.
Kesemua usahawan KPLB itu daripada Kudat, Matunggong, Pitas dan Membakut menyertai pameran dan jualan sejak 29 April.
Ketua Bahagian Keusahawanan Industri Desa (KID) KPLB Sabah Felicia Sindan berkata, penyertaan para usahawan KPLB dalam program seumpama ini dapat membantu mempromosi produk mereka seterusnya meningkatkan pendapatan.
“Biasanya pada tahun-tahun lalu, setiap peserta dapat mengumpul pendapatan lebih kurang RM1,000 dalam tiga hari. Saya yakin pendapatan mereka pada tahun ini lebih tinggi berdasarkan kunjungan orang ramai yang amat menggalakkan di gerai KPLB Sabah,” katanya, ketika ditemui pemberita di gerai KPLB Sabah.
Felicia berkata, setakat ini seramai 80 orang daripada lebih 150 usahawan KPLB seluruh Sabah aktif menjalankan perniagaan. Usahawan yang tidak aktif ialah mereka tidak dapat menghasilkan atau mengeluarkan produk secara tetap.
Katanya, pada tahun ini KPLB Sabah akan melaksanakan beberapa kursus peningkatan kemahiran kepada para usahawan sedia ada dan kursus untuk peserta baharu antaranya anyaman ribu-ribu dengan rekabentuk baru di Kg.Pinawantai Matunggong, jahitan baju tradisional di Mensiang Menggatal dan kursus SPA di Keningau.
“Kursus SPA ini adalah kesinambungan daripada program pembangunan usahawan desa yang menjalankan perniagaan Homestay di Kota Belud dan Beaufort,” katanya.

Antara usahawan KPLB Sabah yang menyertai pameran dan jualan sempena pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah.

More Stories
Cradle Open Day 2024 Tingkat Inovasi Dan Pertumbuhan Ekosistem Startup Di Sabah
Hutang Isi Rumah Negara Berjumlah RM1.53 Trilion
Harga petrol, diesel kekal