Mangsa kebakaran hargai keprihatinan Ahli Parlimen Tuaran

Oleh: Mona

TUARAN: Kejadian rumah terbakar di Kampung Sungai Damit mendapat perhatian Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Beliau hadir melihat sendiri keadaan rumah sekali gus memberikan sumbangan kepada nenek mangsa, Rupiah Erin pada Sabtu lalu.

Menurut Rupiah, kebakaran itu berlaku dengan pantas sekitar jam 10 malam pada Jumaat.

“Saya sendiri dikejutkan dengan jeritan cucu saya, Mohd Ghadaffie Abdullah yang pada ketika itu sudah pun berada di luar rumahnya.

“Saya sangat berterima kasih kepada Datuk Madius yang begitu prihatin hadir mengunjungi kami pada saat-saat kami ditimpa musibah.

Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran

“Terima kasih tidak terhingga juga atas sumbangan yang diberikan oleh Datuk untuk melegakan serba sedikit bebanan yang ditanggung oleh cucu saya,” katanya.

Dalam kejadian itu, api yang marak berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba dan penyelamat selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Bagaimanapun, mangsa yang berusia 28 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kini tinggal di kediaman neneknya buat sementara waktu.