476 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Sabah semalam

Oleh : Lea

Kes baharu positif COVID-19 dilaporkan meningkat sebanyak 30 kes iaitu 476 kes berbanding Rabu (446) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Sabah, semalam.

Berdasarkan Infografik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, kes tertinggi dilaporkan di daerah Sandakan iaitu 93 kes, diikuti oleh daerah Kota Kinabalu sebanyak 77 kes, Penampang (71), Tuaran (44), dan Ranau (32).

Dalam pada itu, daerah Kalabakan yang satu-satunya merupakan Zon hijau sejak Selasa lepas kini berubah menjadi zon kuning setelah satu kes baharu COVID-19 dilaporkan di daerah itu semalam.

Sementara itu, 652 buah premis telah diperiksa manakala satu diarah tutup dalam Operasi Bersepadu Pemantau Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semalam.

Dalam jumlah tersebut, 44 keping kompaun telah dikeluarkan di empat daerah iaitu 38 keping di daerah Keningau, empat keping di daerah Kota Kinabalu, dan masing-masing satu keping di daerah Pitas dan Sandakan.

Kesalahan yang dikompaun adalah disebabkan pemilik premis gagal memastikan individu menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis dan melebihi masa beroperasi.