Kuil berusia 130 tahun terbakar 30 meter

Oleh : Cyn J

GEORGETOWN: Kuil Kek Lok Si yang menempatkan patung Dewi Kuan Yin, iaitu patung dewi terbesar dan tertinggi di dunia terbakar seluas 30 meter, tengah malam tadi.

Ketua Operasi dari BBP Paya Terubong Shahril Anuar Mawardy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 12.38 tengah malam.

“Kami menerima panggilan mengenai kebakaran kuil yang terletak di puncak bukit Jalan Balik Pulau-Kampung Pisang, Air Itam, di sini.

“Ketika berada di lokasi, didapati kebakaran berlaku di bahagian pavilion yang menempatkan patung dewi terbesar,” katanya

Mengulas lanjut, Shahril Anuar berkata, api berjaya dikawal 15 minit kemudian oleh anggota Balai bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong dengan bantuan anggota BBP Bayan Baru di Air Itam.

“Kebakaran hanya memusnahkan meja dan perkakasan sembahyang dan tidak membabitkan struktur.

“Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 1.07 pagi sebelum anggota melakukan proses ‘overhaul’ bagi memastikan keadaan benar-benar selamat,” katanya.

Operasi tamat pada jam 1.30 pagi dan tidak ada sebarang laporan yang melibatkan mangsa atau kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut.

Sumber: Berita Harian