Lelaki mencuri di kedai serbaneka diburu polis

Oleh: Libona

KOTA KINABALU: Seorang lelaki diburu polis selepas perbuatannya mencuri barang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai serbaneka di Inanam Taipan, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah, hasil rakaman menunjukkan seorang lelaki berpakaian T warna merah, berseluar panjang, bertopi dan memakai pelitup muka serta membawa beg sandang telah memasuki premis pada pukul 2.30 petang.

Suspek kemudian mengambil beberapa barangan dan memasukkan ke dalam beg sandangnya lalu keluar dari kedai tanpa membuat pembayaran.

“perkara tersebut disedari oleh pekerja permis apabila dia membuat pengiraan barang dan mendapati barang di rak jualan sudah berkurang.

“setelah membuat siasatan, pihak permis menanggung kerugian yang dianggarkan sebanyak RM271.40,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Mohd Zaidi memohon bantuan orang ramai yang mengenali suspek untuk tampil memberi maklumat bagi membantu dalam siasatan.

Katanya lagi, orang ramai juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222.