Lim Guan Eng: Kerajaan tiada hak naikkan denda langgar SOP Covid-19

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilihat "berlaga penumbuk" dengan penyokongnya semasa berkempen pada PRN Johor.

PETALING JAYA — Kerajaan Barisan Nasional (BN)/PN tidak berhak meningkatkan jumlah denda kompaun terhadap syarikat dan individu yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ini demikian kerana kerajaan sendiri tidak mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan, malahan menteri sendiri berterusan mengamalkan amalan dua darjat iaitu dengan secara terbuka melanggar SOP tersebut.

“Bukan setiap rakyat Malaysia biasa kaya seperti Menteri yang mampu membayar denda RM10,000 yang dinaikkan dan setiap syarikat boleh bertahan seperti Kementerian Kerajaan apabila dikenakan denda kompaun RM1 juta.

“Kerajaan harus menunjukkan belas kasihan kepada mangsa Covid-19 dan menguruskan peralihan pandemik menjadi endemik dengan berkesan dalam menerima realiti bahawa masyarakat terpaksa hidup dengan Covid-19,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan mengenai insiden Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang “berlaga penumbuk” dengan penyokong BN ketika berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Kerajaan bercadang meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Pindaan itu dicadang meningkatkan denda bagi pelanggaran SOP kepada RM1 juta ke atas syarikat dan RM10,000 ke atas individu.

Tambah Guan Eng, penalti dan denda seperti itu boleh dikuatkasakan sesuka hati jika kuasa mutlak dan tanpa batasan diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, dan tidak boleh dipersoalkan atau dicabar di bawah cadangan pindaan yang sama.

Jelasnya lagi, Pakatan Harapan (PH) dan DAP mengambil pendirian tegas menentang dan mengundi menolak cadangan pindaan sedemikian di Parlimen kerana kuasa mutlak yang diberikan kepada penguatkuasaan dan hukuman denda serta kompaun berat dikenakan.

“Hukuman yang berat boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat biasa dan kelangsungan hidup perniagaan kecil tidak mampu membayar penalti dan denda kompaun yang berat serta membebankan,” katanya.