Seorang lelaki meninggal dunia ketika bermain bola

PENAMPANG, 4 April — Seorang lelaki berusia 57 tahun dipercayai meninggal dunia ketika bermain bola sepak di Kompleks Sukan Penampang, di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian terbabit berlaku sekitar jam 6 petang ketika mangsa sedang bermain bola dan secara tiba-tiba rebah serta tidak sedarkan diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, rakan mangsa yang berada dalam kejadian tersebut segera membantu dan mendapati nadinya masih berdenyut.

Katanya, selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang bergegas ke lokasi.

Dalam pada itu, Mohd Haris berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba segera memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) Kota Kinabalu oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di bahagian kecemasan HQE I.

“Punca kematian belum dikenalpasti dan Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) ,” katanya ketika ditanya pemberita.