Remaja maut motosikal langgar tiang

Motosikal mangsa remuk selepas terlibat dalam kemalangan maut itu. (Gambar kecil: Muhammad Haziq)

ALOR GAJAH, 5 April – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar tiang papan tanda ‘awas’ di Jalan Telok Gong, Kuala Sungai Baru, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Haziq Md Affandi berusia 19 tahun yang juga pekerja kilang telur di Batu Berendam.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Pengkalan Balak ke Kuala Sungai Baru.

“Kemalangan berlaku apabila mangsa yang beralamat di Felda Palong Timur 3, Batu Anam Johor dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar tiang itu yang terletak di bahu jalan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.