Suspek mencuri dalam keadaan bogel dicari polis

SHAH ALAM, 9 April — Polis memburu seorang lelaki yang disyaki berkeliaran dalam keadaan berbogel di kawasan perumahan Seksyen 19, sebelum melakukan jenayah pecah rumah di Seksyen 20, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa seorang wanita tempatan sedang tidur bersama anak perempuannya di ruang tamu.

Katanya, mangsa kemudian terjaga apabila ada cahaya terpancar kearah matanya dan menjerit selepas menyedari akan kehadiran suspek.

Suami mangsa yang terdengar jeritan seterusnya bergegas lari keluar dari dalam bilik tidur menuju kepada mangsa, namun suspek sudah melarikan diri.

Menurut Mohd Iqbal, Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1,600 wang hasil daripada perniagaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan masih dijalankan,”katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Shafarulrazi ditalian 010-8889910/03-55202222.