Pelaksanaan rangkaian 5G beri cabaran lokasi luar bandar dan pedalaman

KOTA KINABALU, 13 April — Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) iaitu 3G kepada 5G di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilaksanakan untuk meningkatkan sambungan rangkaian internet di seluruh negara.

Walaupun ramai menyokong rangkaian 5G, pelaksanaannya menimbulkan beberapa cabaran terhadap lokasi luar bandar dan kawasan pedalaman disebabkan infrastruktur 5G tidak berkesan di lokasi tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, tiada jumlah menara komunikasi yang dapat menyelesaikan ketersambungan digital melainkan perlu bertukar kepada satelit.

“Tetapi bagaimana kita melakukan ini? Kebanyakkan orang bercakap tentang penggunaan satelit dan perkara seperti itu (ketersambungan digital), oleh itu kita perlu mempunyai dasar untuk mengawal selia cara komuniti akan mendapat akses kepada kemudahan tersebut,” jelasnya.

Madius berkata demikian ketika mengupas penerimaan rangkaian 5G di luar bandar dan kawasan pedalaman Sabah dalam Webinar anjuran WISDOM Foundation baru-baru ini.

Beliau berkata, seperti yang dinyatakan dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, kemudahan untuk mengakses liputan dan internet merupakan perkara penting pada masa kini.

“Kerajaan menyediakan sejumlah bajet untuk menara komunikasi kira-kira RM4-bilion tetapi tiada bajet untuk mewujudkan penggalak tersebut iaitu satelit komunikasi tersebut. Ini yang Kerajaan patut sediakan,” katanya.

Sementara itu, Madius turut menekankan keperluan melihat semula secara keseluruhan isu satelit komunikasi di bawah Pelan Rancangan Malaysia.

“Saya rasa ia perlu dilakukan, dan sudah tentu ia perlu ditangani di kesemua Kementerian iaitu dalam Persekutuan, Negeri dan juga Negara,” jelas Madius.