Oleh: Cyn J.
KOTA KINABALU, 11 MEI – Tiga jawatankuasa bakal dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai persiapan jentera PH serta membangkitkan semangat rakyat terutama pengundi atas pagar menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Majlis Presiden PH, jawatankuasa yang akan dibentuk adalah Jawatankuasa Pilihanraya, Jawatankuasa Manifesto dan Jawatankuasa Jelajah Harapan.
Selain itu, PH juga akan melipat gandakan usaha, merangkul seluruh kekuatan pembangkang untuk memastikan PRU15 milik rakyat.
“Kita juga perlu waspada terhadap kelompok dan puak yang tidak senang dengan kemenangan rakyat,” katanya dalam kenyataan media semalam sempena ulang tahun ke-4 terbentuknya Kerajaan Pakatan Harapan selepas hari mengundi bagi Pilihanraya Umum ke-14.
Menurut kenyataan itu, sebuah Kerajaan baharu berjaya dibentuk empat tahun lalu atas semangat rakyat Malaysia yang bersama-sama bangkit menolak UMNO-BN dengan memilih Pakatan Harapan seterusnya menyebabkan perubahan Kerajaan Persekutuan yang pertama sejak Merdeka.
“Pada ketika itu, tiada sesiapa yang mampu menjangka perubahan bersejarah tersebut boleh berlaku. Malah ada penganalisa yang menyatakan bahawa BN akan menang mudah dengan 2/3 kerusi Parlimen.
“Namun yang jelas, semangat rakyat untuk melakukan perubahan pada saat itu telah memungkinkan perubahan yang amat bermakna dalam sejarah politik tanah air,” katanya.
Dalam kenyataan sama, PH turut mengulangi pendirian bahawa Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti perlu dibentang dan diluluskan Parlimen bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi di Malaysia serta berkomited menghormati Perjanjian Malaysia 1963.
“Segala peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hak istimewa kepada Sabah dan Sarawak perlu dilaksana seperti perkara 112C dan 112D yang mana tafsirannya perlu dibuat berdasarkan niat Perlembagaan dan bukannya dibuat untuk menidakkan hak Sabah dan Sarawak.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ