Kemenangan Rafizi bawa harapan baru kepada generasi muda

KOTA KINABALU, 1 Jun — Kemenangan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 memberi satu harapan kepada generasi muda untuk menerajui parti-parti politik di tanah air.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, keputusan tersebut turut menunjukkan arah tuju Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa mendorong dan memberi peluang kepada generasi muda untuk tampil tonjolkan diri mereka.

“Kita dalam Amanah juga sangat-sangat memberi peluang dan menonjolkan anak muda kerana itulah perjuangan jangka masa panjang kita dan memberi inspirasi awal.

“Mana-mana parti politik perlu suntikan baharu, tenaga orang muda dan parti-parti lain termasuk Amanah juga tidak terkecuali,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Amanah Terengganu di sini pada Selasa.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Amanah turut memberi peluang kepada anak muda menonjol sebagai pemimpin dan ia telah diperjuangkan sejak sekian lama seiring dengan perubahan landskap politik negara.

“Masa depan negara ini akan diwarisi oleh generasi muda, jadi kita perlu bimbing mereka dan beri inspirasi seawal mungkin.

“Malah, Amanah termasuk di Terengganu turut memberi peluang kepada anak muda dan Ketua Pemuda parti di peringkat nasional berasal dari negeri ini,” katanya.

Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan memenangi saingan kerusi Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan 2022.

Dalam saingan itu, Rafizi dilaporkan memperoleh 68,992 undi mengatasi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memperoleh 50,038 undi.