Pakatan Harapan tidak setuju perkenal semula GST

Oleh: Cyn J.

KOTA KINABALU, 1 Jun – Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksana semula sistem percukaian GST.

Menurut Majlis Presiden PH, dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik COVID-19.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak.

“Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat,” kata PH dalam sebuah kenyataan.

Selain itu, tambah PH, persepsi tatakelola serta urustadbir Kerajaan belum pulih akibat skandal 1MDB, tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency International serta kedudukan ke-2 dalam indeks kapitalisme kroni (crony-capitalism index) The Economist, adalah tidak munasabah sekiranya Kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urustadbir Kerajaan telah berjaya dilaksana.

”Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme.

“Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihanraya yang lalu,” jelasnya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau