PENAMPANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah, Bung Moktar Radin berkata, Parti Bersatu Sabah (PBS) merupakan pengkhianat yang mengkhianati BN berkali-kali.
Beliau memberi amaran kepada Presiden PBS, Maximus Ongkili untuk menghormati BN selaku rakan parti dalam kerajaan dan tidak sekali-kali cuba bermain api.
“PBS sudah khianati BN berkali-kali, cukup-cukuplah PBS, jangan jolok sarang tebuan, kalau dijolok padah rasanya, sebab Umno dan BN ini bukan melukut di tepi gantang, kita parti yang kuat, kita parti keramat, dia (Ongkili) tuduh kita macam-macam, dia yang melukut di tepi gantang.
“BN memerintah, dia pun ikut memerintah, satu kerusi Parlimen pun jadi menteri juga, mana boleh begini,” katanya dalam laporan The Star hari ini.
Bung mengulas dakwaan Presiden PBS, Maximus Ongkili bahawa ada sebuah “parti BN” memberikan kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin (Pati) untuk mengundi parti berkenaan.
“Saya ingin memberi amaran kepada presiden PBS, jangan cuba bermain api, kalau berkawan hormati kawan, Umno dan BN tidak pernah khianati kawan.
“Saya belum lagi bongkar PBS ini, banyak lagi dia buat untuk menghancurkan negeri Sabah ini, tunggulah dekat-dekat pilihan raya.
“Dia (PBS) sudah mula gendang, sekarang kita palu dia punya gendang, dia salah orang itu, dia ingat dia boleh ugut saya minta maaf pada dia,” katanya.
Bung berkata demikian pada konvensyen BN Sabah di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC).

More Stories
Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak
Saya tidak setuju dengan Harris Salleh – Ewon
Jangan Kelirukan Rakyat Tentang Tuntutan Hak 40 Peratus – Madius