Bot pancing bawa barang kawalan bernilai RM100,000 ditahan Maritim Malaysia

KUDAT : Sebuah bot pancing membawa muatan barang kawalan bernilai RM100,000 ditahan disyaki memiliki lapan tong berisi minyak petrol serta lima tong gas dipercayai tanpa memiliki permit sah di perairan Kudat, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil maklumat risikan bot terbabit berjaya ditahan pada kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika timur muara Marina Kudat sekitar kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh dua orang warga tempatan berumur 15 dan 28 tahun.

“Bot ronda Zon Maritim Kudat ketika itu sedang menjalankan rondaan kemudiannya bertindak bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada Unit Perisikan.

“Barang rampasan bersama terbabit di bawa ke jeti kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maurice berkata, kes ini akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas disyaki membawa barang kawalan tanpa dokumen yang sah mengikut kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah kerana menyalahgunakan syarat lesen.

“Zon Maritim Kudat menggesa agar komuniti maritim untuk terus menyalurkan kerjasama untuk melaporkan sebarang salah laku jenayah di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” jelas Maurice. -SABAH NEWS TODAY