SESB Beri sumbangan kepada Golongan Asnaf, Madrasah dan Tahfiz Di Ranau

RANAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberikan sumbangan kepada 47 golongan Asnaf di kawasan daerah Ranau menerusi Program Seikhlas Budi Secuci Ramadan SESB dalam satu majlis berbuka puasa di Surau Nur Iman Kampung Lingkudou di sini, pada Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd Yaakob Haji Jaafar berkata, sumbangan turut diberikan beberapa Madrasah, Tahfiz, Masjid dan Surau.

“Inisiatif ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memastikan golongan yang memerlukan sama-sama dapat mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia ini.

“Penyerahan sumbangan ini merupakan sebahagian daripada Wakalah Zakat SESB yang diberikan kepada penerima mengikut hukum yang ditetapkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah,” katanya.

Yaakob berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis berkenaan di sini.

Hadir sama, Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau dan ADUN Dilantik, Datuk Amisah Yassin.

Dalam pada itu, Masidi ketika ditemui media pada majlis tersebut, menzahirkan penghargaan atas pemilihan lokasi di Ranau sebagai tapak penganjuran program berkenaan.

“Program yang diadakan ini bukan sahaja dapat menyantuni banyak pihak dan merapatkan ukhwah antara SESB dengan pengguna dan orang ramai, malah ia secara tidak langsung membantu meringankan beban golongan yang memerlukan di daerah ini,” katanya.

Untuk rekod, SESB melalui inisiatif yang sama sebelum ini turut memberikan sumbangan kepada golongan memerlukan di kawasan Bongawan melibatkan 40 penerima, tiga surau dan satu Maahad Tahfiz.

SESB turut menyerahkan sumbangan kepada 26 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa kebakaran di kampung tersebut pada 4 Mac lalu.