50 kes tangkapan babitkan nilai lebih RM4.5 juta dalam seminggu Ops Khas Pagar Laut

KOTA KINABALU: Sebanyak 50 kes tangkapan pelbagai kesalahan dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam tempoh seminggu pelaksanaan Op Khas Pagar Laut 1/2024 di seluruh negara.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin berkata, kes tangkapan berkenaan membabitkan nilai lebih RM4.5 juta.

“Kes-kes tangkapan adalah bagi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

“Daripada jumlah yang dinyatakan, APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan 16 kes tangkapan dengan nilai rampasan hampir RM400,000 mengikut undang-undang yang sama.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjaun OP Khas Pagar Laut 1/2024 di perairan Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah, Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik dan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim, Laksamana Pertama Maritim Ahmad Faridi Ferdaus.

Menjelaskan lebih lanjut, Hamid berkata, operasi ini diaktifkan semula di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam usaha mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan khususnya di kawasan titik panas (Hotspot) pada bulan Ramadan dan Syawal.

Datuk Hamid ketika sidang media di Kapal Maritim Arau.

“Operasi khas ini dilaksanakan dalam empat fasa iaitu bermula Fasa I iaitu persediaan (pengumpulan maklumat dan siap siaga aset) pada 12 Mac hingga 17 Mac 2024 diikuti Fasa II iaitu penguatkuasaan sebelum perayaan (18 Mac hingga 1 April).

“Seterusnya Fasa III merangkumi penguatkuasaan semasa perayaan (2 April hingga 16 April) dan diikuti Fasa IV iaitu penguatkuasaan selepas perayaan (17 April hingga 30 April),” katanya.

Dalam pada itu, Hamid berkata, kejayaan yang dicatatkan adalah bukti pegawai dan anggota agensi ini melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan komitmen tinggi serta berintegriti.

Justeru beliau menyeru supaya seluruh warga APMM meneruskan momentum berkenaan agar tanggungjawab yang digalas ini terus mendapat kepercayaan kerajaan seterusnya keselamatan dan ketenteraman rakyat terjaga khususnya ketika menjelang lebaran nanti.

Pada sesi tinjuaan itu, Hamid turut menyampaikan bingkisan raya kepada warga Kapal Maritim (KM) Arau melalui Pegawai Memerintahnya Kepten Maritim Solehudin Zakaria serta pegawai-pegawai
memerintah Kapal Maritim yang menjalankan operasi berkenaan di Sabah. – Info X