KUDAT: Pergerakan sebuah bot pam mencurigakan di perairan daerah ini, kelmarin membawa kepada penemuan sembilan peket plastik mengandungi dadah jenis syabu.
Individu yang menaiki bot berkenaan itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menerusi Op Khas Pagar Laut 1/2024, pada 4.30 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, pasukan serbuan mengesan sebuah bot yang bergerak dalam keadaan mencurigakan sebaik tiba di lokasi iaitu kira-kira 0.2 batu nautika timur Pulau Bankawan, Banggi.
“Ketika menghampiri, bot berkenaan memecut laju secara tiba-tiba dan melarikan diri ke kawasan cetek hutan paya bakau berhampiran.
“Kira-kira jam 4.50 pagi kemudian, pasukan serbuan menemukan sebuah bot jenis pam berwarna biru tanpa nombor pendaftaran tanpa penumpang dipercayai bot suspek yang ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek dipercayai terjun ke laut melarikan diri di kawasan hutan bakau.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot itu menemui sembilan peket lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 400 gram dipercayai cuba dibawa masuk ke kawasan daratan.
“Bot dan barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM50,000,” katanya.
Tambahnya, semua rampasan dibawa masuk ke Jeti Marina Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad