Bayi maut dalam kemalangan dua kenderaan di Kampung Paris

KINABATANGAN: Bayi lelaki maut manakala ibu bapanya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Kampung Paris 2, di sini, tengah malam tadi.

Kejadian itu juga turut menyebabkan empat lagi parah dan dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.38 tengah malam.

Katanya, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Hilux bertembung dengan Proton X50.

“Terdapat enam mangsa terbabit tersepit di dalam kereta Proton X50 dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa.

“Seterusnya serah mangsa kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang bayi di dalam kereta Proton X50 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Seterusnya mayat bayi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 4.15 pagi,” katanya. – Info X