Pengusaha dobi perlu ada lesen gas daripada ECoS

KOTA KINABALU: Pengusaha dobi di Sabah perlu mendapatkan kelulusan dan lesen gas yang sah daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) bagi menggunakan sistem gas berpaip untuk mesin pengering dan pemanas air di premis masing-masing.

Sejajar keperluan itu, ECoS hari ini menganjurkan Seminar Pematuhan Bekalan Gas khusus untuk pengusaha dobi sebagai panduan mendapatkan lesen penggunaan gas yang dikeluarkan ECoS.

Seminar itu disasar meningkatkan kefahaman mengenai aspek keselamatan sistem perpaipan gas dan kesedaran terhadap prosedur permohonan lesen yang membabitkan kelulusan pemasangan (ATI) dan permohonan kelulusan pengendalian (ATO).

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS,
Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid, dalam ucapannya berkata, sebagai badan kawal selia bagi industri tenaga di Sabah, ECoS perlu memastikan reka bentuk sistem perpaipan gas di premis dobi dipasang mengikut piawaian yang ditetapkan dan selamat digunakan.

“Mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi perkara ini boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 4 (3) Enakmen Bekalan Gas 2023.

“Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Ketua Pegawai Operasi ECoS, Ridwan Sham.

Pada seminar itu, pengusaha dobi mendengar perkongsian berkaitan keselamatan gas daripada penceramah yang mewakili ECoS, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Abdul Nasser berkata, masih ada pengusaha dobi yang kurang kesedaran atau mengabaikan keperluan undang-undang dan pematuhan piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Katanya, tindakan itu boleh menyebabkan berlaku kemalangan, kebakaran atau letupan yang disebabkan kebocoran gas.

Selain penganjuran seminar kesedaran, ECoS juga melakukan pemantauan di semua premis dobi bagi memastikan pengusahanya mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan.

Jelasnya, mana-mana premis yang didapati beroperasi tanpa lesen gas yang sah akan diberikan surat peringatan.

Langkah itu katanya bagi memastikan pematuhan pengusaha dobi terhadap Enakmen Bekalan Gas 2023 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023. – Info X