PENAMPANG: Penantian 61 tahun penduduk Kampung Togudon, di sini, untuk memiliki geran tanah bakal berakhir pada tahun depan setelah selesai kerja penyukatan tanah menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).
Menerusi program yang dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick itu, tanah yang sudah sekian lama diduduki akan disukat sebelum diberikan geran.
Pelaksanaan program itu menggembirakan penduduk kampung berkenaan setelah lebih separuh abad menduduki tanah dan memohon untuk mendapatkan geran, namun tidak tercapai.
Penduduk kampung turut merakamkan penghargaan kepada Ewon selaku Ahli Parlimen Penampang atas usaha beliau merealisasikan impian mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Togudon, Lidan Galasun berkata, penduduk sudah lama menunggu untuk tanah mereka disukat dan diberikan geran.
“Sudah bertahun-tahun kami tunggu, pemimpin kampung dan kerajaan negeri silih berganti tetapi permohonan kami tidak pernah berjaya tetapi Datuk Ewon berjaya menyelesaikannya dalam tempoh tidak sampai lima tahun.
“Dengan adanya geran tanah itu nanti akan memudahkan kami mendapatkan pelbagai bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Bekas Ketua Kampung Togudon, Gukim Gosuit, berkata permohonan penyukatan tanah di kampung itu sudah dikemukakan sejak bertahun lama namun tidak berjaya.
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, antara isu utama yang kami kemukakan untuk diselesaikan oleh wakil rakyat yang kami pilih ialah pemilikan tanah.
“Syukur kepada Tuhan, terima kasih kepada kerajaan negeri dan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon kerana atas usaha beliau, akhirnya penyukatan tanah di kampung kami dilaksanakan melalui Program PANTAS,” katanya.
Penduduk Kampung Tagudon, Rita Manuel turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ewon atas kesungguhan beliau membantu penduduk kampung.
“Semasa perbincangan mengenai penyukatan tanah di kampung kami, saya masih ragu-ragu kerana saya tidak mahu diberikan harapan palsu.
“Tapi, hari ini selepas pelancaran penyukatan tanah, ia memberikan kepercayaan dan keyakinan serta harapan besar kepada kami.
“Kami sudah menunggu penyukatan dan geran tanah sejak dahulu lagi dan hari ini satu sejarah kepada penduduk kampung yang bakal menerima geran tanah masing-masing tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Ewon menyifatkan pelaksanaan program itu sebagai hadiah terbaik sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini kepada penduduk Kampung Togudon.
Katanya, penyukatan tanah menerusi Program PANTAS yang pertama dilaksanakan di daerah ini akan diteruskan di kampung-kampung lain.
“Selaku wakil rakyat Penampang, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang bersetuju melaksanakan Program PANTAS di sini.
“Penyukatan tanah ini melibatkan keluasan 982 hektar ataupun sekitar 2,400 ekar yang dimohon kira-kira 500 penduduk kampung yang selama ini menantikan pemilikan tanah selepas kampung ini wujud sejak 1920-an.
“Penyukatan tanah dijangka selesai pada Mei 2025 dan geran-gerannya dijangka siap menjelang hujung tahun depan,” katanya.
Ewon yakin, dengan adanya pemilikan geran tanah, akan memberikan manfaat kepada penduduk kampung termasuk memudahkan mereka menerima bantuan kerajaan berkaitan aktiviti pertanian dan keusahawanan. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ