KOTA KINABALU: Dua mangsa yang rentung akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di lampu isyarat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di Jalan Kepayan, di sini, awal pagi tadi, sudah dikenal pasti.
Difahamkan, kedua-dua mangsa adik beradik wanita berusia lingkungan 20-an.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 2.35 pagi.
Katanya, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Toyota Hilux, Perodua Axia dan Perodua Viva.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an memandu dari arah Tanjung Aru menuju ke arah Putatan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, di lorong kanan Toyota Hilux telah melanggar bahagian Perodua Axia yang dinaiki dua wanita terbabit sehingga menyebabkan kereta itu berpusing masuk ke lorong tengah lalu melanggar bahagian tepi kanan sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva.
“Akibat kejadian itu, Perodua Axia terbabas ke bahu jalan berdekatan jejantas lalu terbakar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kasim berkata, kedua-dua mangsa di dalam kereta Perodua Axia dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b)Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ