Pemandu maut tersepit dalam van terbalik

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu terbalik di Jalan Tuaran, dekat Bandar Sierra, Manggatal, di sini, petang tadi.

Mangsa Richard Linasin, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 petang.

Katanya sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan berkenaan. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah van terbabas sendiri dan terbalik di tepi jalan berkenaan

“Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari kenderaan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain wujud, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.30 petang,” katanya. – Info X