Pusat Khidmat Parlimen Tuaran dan JAS anjur Hari Pembersihan sedunia Tuaran 21 Sept ini

TUARAN: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Sabah (JAS) akan mengadakan sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2024 pada 21 September ini.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, ia akan melibatkan kira-kira 28 buah kampung, tiga taman perumahan serta pelbagai institusi pengajian tinggi di Sabah dan agensi-agensi kerajaan dan swasta.

“Program ini diisi dengan pelaksanaan program kampung angkat melibatkan institusi pengajian di Sabah.

“Aktiviti ini akan merangkumi pelbagai ceramah dan sesi taklimat kepada kampung-kampung terlibat yang dikendalikan oleh institusi pengajian tinggi dan agensi seperti UiTM Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Cyberjaya University College, Jabatan Kesihatan Tuaran, Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Tuaran dan Jabatan Hidupan Liar,” katanya dalam suatu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Madius yang juga Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berkata, program berkenaan selari dengan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Selain JAS, sambutan ini turut diadakan dengan pelbagai agensi kerajaan lain termasuk Petronas, KKIP dan SESB.

“Antara matlamat utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pemuliharaan alam sekitar, membudayakan amalan kitar semula melalui penggunaan semula, penjualan, atau pengurusan sampah yang betul dan menggalakkan penggunaan sumber alam seperti air, pokok dan hidupan marin secara lestari bersama kerjasama pelbagai pihak.

“Kita berhasrat untuk menjadikan Tuaran sebagai contoh terbaik dalam usaha memelihara alam sekitar. Ini adalah langkah penting ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari untuk generasi akan datang,” jelas Madius

Turut diadakan Pertandingan Kampung Lestari yang akan dinilai selama setahun dan pemenangnya diumumkan pada September 2025.