Madius terus perjuangkan pembangunan infrastruktur asas di Tuaran

TUARAN: Ahli Parlimen P.170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, terus memperjuangkan isu-isu infrastruktur asas di Tuaran.

Menurutnya, pada sesi parlimen lalu, beliau sekali lagi membangkitkan isu-isu kritikal seperti pembinaan jambatan kenderaan, jambatan gantung, bekalan air bersih, bekalan elektrik luar bandar dan jalan-jalan perhubungan desa pada sesi kamar khas bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Saya telah menyuarakan beberapa isu infrastruktur dan keperluan asas di Tuaran kerana ia adalah perkara yang mendesak dan memerlukan perhatian segera.

“Dalam sesi tersebut, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Hajah Rubiah Wang, memberikan jawapan dan penjelasan terperinci mengenai isu yang dibangkitkan dan menyatakan bahawa permohonan bagi projek-projek pembangunan infrastruktur boleh dikemukakan melalui KKDW di peringkat negeri dan juga kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Madius, susulan jawapan daripada Timbalan Menteri itu, beliau bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran telah mengambil inisiatif mengadakan pertemuan bersama pihak KKDW cawangan Sabah dan Unit Perancangan Ekonomi Sabah.

“Kita telah mengadakan pertemuan dengan KKDW Sabah pada Ogos. Perbincangan telah diadakan bersama pengarah dan pegawai kanannya.

“Sementara itu pada Isnin lalu, saya meneruskan pertemuan dengan UPEN Sabah. Terima kasih kepada Datuk Jasmine Teo selaku Pengarah UPEN kerana menyambut baik kunjungan ini.

“Kita mengemukakan isu-isu utama yang membelenggu rakyat di Tuaran yang perlu diberikan perhatian dan penyelesaian.

“Dalam kedua-dua pertemuan ini, saya juga membawa bersama Pegawai Daerah, Penolong Pegawai Daerah wakil-wakil dari Daerah Kecil Kiulu dan Tamparuli serta wakil-wakil dari agensi yang berkaitan seperti Jabatan Air, SESB untuk memberikan input secara terus kepada mereka,” jelas Madius.

Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan projek-projek infrastruktur ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Inisiatif ini diharapkan dapat mempercepatkan proses pembangunan infrastruktur di Tuaran dan meningkatkan kualiti hidup penduduk, sejajar dengan aspirasi untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan yang lebih menyeluruh kepada seluruh komuniti,” tambah Presiden Kehormat UPKO itu lagi.