Polis Penampang tumpaskan sindiket judi

PENAMPANG: Polis Penampang berjaya menumpaskan sindiket perjudian jenis ‘baccarat’ dan poker dengan menahan lima individu di dalam serbuan di sebuah pusat komersial di sini, semalam.

Kelima-lima mereka yang ditahan termasuk seorang wanita hasil risikan dan operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerusi Op Dadu, kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, semua mereka yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 39-an.

Selain itu katanya, pelbagai peralatan perjudian dan sejumlah wang tunai dipercayai wang taruhan bernilai RM12,260 dirampas.

“Ketika serbuan, empat lelaki dan seorang wanita warga asing yang berada di lokasi berkenaan ditahan.

“Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1954.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas ke atas sebarang penganjuran aktiviti perjudian di daerah ini.

Katanya, masyarakat dinasihatkan supaya terus menjadi mata serta telinga polis dalam memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara. – Info X