Kupon ‘gores’ letak kereta DBKK dimansuhkan mulai 16 November

KOTA KINABALU: Kupon letak kereta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) jenis gores yang digunakan sejak kira-kira 10 tahun lalu akan ditamatkan penggunaannya pada 16 November depan.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah, berkata pengguna yang masih memiliki kupon yang belum digunakan perlu menghabiskannya sehingga 15 November depan.

Katanya, selepas tarikh itu, DBKK tidak lagi menerima penggunaan kupon letak kereta sejajar pelaksanaan kaedah bayaran letak kereta secara digital menggunakan aplikasi Sabah Smart Parking (SSP) yang dikuatkuasakan sejak 16 Oktober lalu.

Bagaimanapun, katanya orang ramai boleh menukarkan kupon yang belum digunakan kepada nilai kredit dalam aplikasi SSP di kaunter atau pondok letak kereta DBKK.

“Berkuat kuasa pada 16 November depan, semua penggunaan kupon fizikal (gores) akan dihentikan dan tidak ada lagi pengguna yang boleh menggunakannya.

“Orang ramai yang masih mempunyai kupon fizikal yang belum digunakan boleh dikembalikan semula di mana-mana kaunter atau pondok letak kereta untuk ditukarkan kepada nilai kredit,” katanya.

Sabin pada sidang media mengenai sistem letak kereta digital yang dikuatkuasakan sejak 16 Oktober.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai sambutan pelaksanaan kaedah letak kereta digital menggunakan aplikasi SSP, di sini, hari ini.

Katanya, sejak dikuatkuasakan pada 16 Oktober lalu, kira-kira 60,000 pengguna suda memuat naik aplikasi berkenaan.

Sementara itu, Sabin berkata pas bulanan letak kereta DBKK yang digunakan sebelum ini juga ditukar kepada pas bulanan digital yang sah untuk sebuah kenderaan bagi satu pas atau kupon.

“Kalau pengguna itu ada tiga kereta, maka dia perlu bayar untuk tiga pas bulanan juga,” katanya.

Dalam pada itu, Sabin mengulangi peringatannya kepada pengguna yang memiliki tunggakan kompaun letak kereta DBKK supaya memanfaatkan pengampunan ‘Jom Bayar Kompaun’ yang dilaksanakan hingga 31 Oktober ini.

“Saya meminta kepada orang ramai yang ada tunggakan saman dan kompaun yang dikeluarkan DBKK agar datang untuk membayar menggunakan aplikasi SSP.

“Jika kompaun itu sekarang adalah RM100, mereka kini hanya membayar RM10 namun bergantung kepada jenis kesalahan.

“Pogram pengampunan ini akan berakhir pada 31 Oktober ini dan orang ramai disarankan mengambil peluang untuk menjelaskan tunggakan kompaun kenderaan masing-masing disebabkan tiada lagi tawaran pengampunan diberikan selepas tamatnya program ini,” katanya.

Tawaran itu hanya terbuka kepada pengguna yang sudah memuat naik aplikasi SSP kerana bayaran tunggakan yang dikenakan perlu dibuat secara digital menggunakan aplikasi berkenaan. – Info X