PRN17: PH Sabah mahu autonomi tentukan rakan kerjasama

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu diberi autonomi untuk menentukan rakan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata PH Sabah juga perlu menentukan sendiri bentuk kerjasama dengan mana-mana parti yang sesuai dengan perkembangan politik semasa.

Beliau berkata, setakat ini Majlis Presiden PH juga belum membincangkan secara formal kerjasama dengan mana-mana parti untuk menghadapi PRN17 Sabah.

“Belum ada sebarang kata putus berkaitan kerjasama PH dengan mana-mana parti buat masa ini dalam menghadapi PRN Sabah akan datang.

“PH Sabah perlu memilih rakan yang mempunyai asas perjuangan yang sama, misalnya dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menuntut satu pertiga bilangan kerusi di Dewan Rakyat dan tuntutan pemberian hasil 40 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Penampang itu mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan BN dan PH sudah memuktamad kerjasama untuk menghadapi PRN Sabah yang dijadual diadakan tahun depan.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyatakan keserasian kerajaan GRS-PH Plus yang dibentuk sejak awal tahun lalu untuk diteruskan pada PRN akan datang.

Di pihak BN Sabah pula, Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PH, namun menolak kerjasama dengan GRS yang disifatkannya tidak menguntungkan BN berdasarkan kerjasama dijalin sebelum ini.

Pemimpin PH Sabah sebelum ini menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri GRS-PH Plus dan menjelaskan belum ada keputusan berhubung rakan kerjasama untuk menghadapi PRN17. – Info X