Minta rasuah RM5,000,dua anggota penguat kuasa ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Dua anggota agensi penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta rasuah RM5,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas seorang pemandu yang melakukan kesalahan lalu lintas, semalam.

Kedua-dua anggota penguat kuasa itu meminta wang suapan daripada pengadu supaya tidak dikenakan tindakan dan saman dalam sekatan jalan raya di Sandakan.

Menurut sumber, pengadu didapati tidak mempunyai lesen memandu dan memandu kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Selain daripada itu, dokumen pengenalan diri milik pengadu dirampas, telefon bimbitnya turut diambil.

“Pengadu telah menghubungi pihak SPRM dan tindakan susulan diambil terhadap Kedua-dua anggota agensi penguat kuasa terbabit,” katanya, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Kedua-dua suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya. – Info X