Polis siasat penunggang motosikal memandu lawan arus

PENAMPANG: Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang penunggang motosikal yang dirakam memandu kenderaan melawan arus di Jalan Lok Kawi – Putatan, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya terkesan sebuah video tular berdurasi 27 saat yang di muat naik di media sosial yang memaparkan seorang individu menunggang motosikal secara melawan arus.

Katanya, tindakan penunggang motosikal terbabit turut menyebabkan kemalangan jalan raya.

“Hasil siasatan awal mendapati penunggang motosikal yang ditunggang secara melawan arus bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Almera.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta Nissan Almera tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular video memaparkan seorang penunggang motosikal lelaki berusia lingkungan 30-an dilihat menunggang melawan arus sebelum menyebabkan kemalangan.

Berdasarkan video berdurasi 27 saat yang di muat naik dalam media sosial, penunggang terbabit dilihat memandu menghala ke Sabindo di lorong kanan menghala ke Putatan.

Setakat ini, belum ada maklumat punca penunggang motosikal berkenaan memandu melawan arus hingga menyebabkan kemalangan. – Info X