PPM tahan juragan,5 PATI warga Filipina

SEMPORNA: Seorang juragan warga Filipina ditahan kerana cuba menyeludup lima pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini menerusi perairan Pulau Sibangkat, di sini, semalam.

Juragan berusia 51 tahun bersama PATI warga Filipina berusia 19 hingga 50 ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), kira-kira jam 7.30 pagi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, ketika bot ronda Markas PPM Semporna menjalankan rondaan, terkesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, bot berkenaan berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan bot dijuragani oleh seorang lelaki dengan membawa lima penumpang.

“Juragan dan kelima-lima penumpang adalah warga Filipina tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil temubual awal akuan lisan daripada juragan bot dan penumpang, mereka mengaku dari Bongao, Filipina masuk ke Semporna,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, adalah menjadi harapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya orang awam dapat bersama-sama berganding bahu dalam menangani jenayah ini.

Katanya, orang awam dapat memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah penyeludupan di negeri ini. – Info X