KOTA KINABALU: Projek menaik taraf Jalan Bulatan Berungis ke Bulatan Mengkabong, Tuaran bernilai RM150.7 juta kini pada peringkat akhir penyediaan reka bentuk.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau, berkata perkembangan itu dimaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.
Berdasarkan jawapan itu, katanya penyediaan reka bentuk jalan raya itu dijangka selesai pada Disember 2024.
“Agensi pelaksana bagi projek ini ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) persekutuan, manakala dan JKR Sabah sebagai pegawai penguasa.
“Projek ini dilaksanakan secara reka dan bina. Surat setuju terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya sudah dikeluarkan pada Mac 2024,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Terdahulu, dalam soalan lisan pada Persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu, Madius meminta menteri KKR menyatakan faktor kelewatan projek itu walaupun sudah diberi peruntukan sejak Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) lagi.
Katanya, KKR menjelaskan projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-11 (RP3 RMKe-11).
Bagaimanapun, projek itu tidak dapat dilaksanakan dan tidak disambung butirannya di bawah RMKe-12 kerana isu jajaran projek yang berstatus jalan negeri dan tiada persetujuan pewartaan kepada jalan persekutuan oleh Kerajaan Sabah.
“Projek yang dimaksudkan ialah Projek Menaik Taraf Jalan Berungis (Laluan 503), dari KM 0.2 hingga KM 2.9 Tuaran.
“Projek ini diluluskan Kerajaan Persekutuan pada 12 November 2021 di bawah Rolling Plan kedua, Rancangan Malaysia ke-12 (RP2 RMKe-12).
“Pada masa yang sama juga, JKR Sabah sedang melaksanakan penyelarasan bagi urusan proses pengambilan balik tanah dengan pihak Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah dan pengalihan utiliti dengan syarikat utiliti yang terlibat sejak Ogos 2024.
“Pelaksanaan fizikal di tapak dijangka bermula pada suku kedua 2025 tertakluk kepada penyelesaian urusan pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti,” katanya.
Katanya, KKR juga sedang melaksanakan Kerja Awalan Menaik Taraf Jalan Berunggis Ke Serusop Dari Persimpangan Jalan Marabahai Spur Ke Jalan Sulaman (R503), Tuaran.
“Jajaran Kerja Awalan ini (pengambilan tanah dan rekabentuk) bermula dari Simpang Jalan Marabahai Spur (end chainage bagi projek Menaik Taraf Jalan Berungis (Laluan 503), dari KM 0.2 hingga KM 2.9 Tuaran, hingga ke Jalan Sulaman (starting Chainage bagi Projek Pan Borneo WP02: Serusop Pituru).
“Cadangan pelaksanaan projek ini bagi melengkapkan ‘missing link’ di antara dua projek yang disebutkan.
“Kerja awalan ini telah diluluskan dalam Rolling Plan 4, RMKe-12 dengan kos siling kerja awalan sebanyak RM53.45 juta,” katanya.
Madius berkata, KKR turut menjelaskan bahawa kerja awalan itu telah bermula pada 14 Ogos 2024 dan dijadualkan siap pada 30 Jun 2025.
“Skop kerja melibatkan Kerja Ukur Tanah, Kerja Siasatan Tapak (SI), Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Social Impact Assessment (SIA), Kajian Trafik, Pemetaan Utiliti, Penyediaan Rekabentuk Terperinci, Pengambilan Balik Tanah dan lain- lain skop yang diperlukan berdasarkan keperluan projek.
“Hasil daripada kerja awalan itu adalah sebagai penyediaan awal bagi pelaksanaan projek fizikal kelak,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ