APMM lupus dadah RM1.5 juta

I’mTAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau melaksanakan proses pelupusan dadah seberat 31 kilogram bernilai lebih RM1.5 juta, pada Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, proses pelupusan itu dilakukan dengan kerjasama syarikat Cenviro Sdn. Bhd di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya, pelupusan dadah jenis syabu atau Methamphetamine itu dilaksanakan selepas APMM menerima perintah rasmi mahkamah untuk dilucut hak selepas kes berkenaan selesai dibicarakan.

“Semua dadah berkenaan adalah hasil rampasan yang dilakukan oleh unit vesel peronda Zon Maritim Tawau pada 2022.

“Proses pelupusan dadah ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui Incinerator yang diuruskan sepenuhnya oleh syarikat di lantik,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, kaedah itu dipilih kerana ia salah satu cara yang selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah tanpa mencemarkan alam sekitar.

Sementara itu, Shahrizan berkata, proses pelupusan dadah ini adalah kali pertama dilakukan bersama pihak syarikat berkenaan bagi memastikan ia dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Shahrizan menegaskan APMM khususnya Zon Maritim Tawau akan terus meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan di sekitar perairan daerah ini.

“Kita akan sentiasa menjalankan rondaan khususnya di lokasi titik panas (hotspot) yang disyaki menjadi lokasi kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah terutamanya di sempadan Malaysia-Indonesia di Tawau,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Zon Pengurusan, Noor Harlina Mohamed; Timbalan Pengarah Zon Siasatan, Leftenan Maritim Muhd Haniff Mustafa bersama Penolong Pengurus Teknikal Jualan Cenviro Sdn Bhd, Muhammad Lutfi Mohd Ramli dan Pengurus Keselamatan Cenviro Sdn Bhd, Farezal Zainal. – Info X