RM1.6 juta kerugian akibat jenayah komersial di Ranau

RANAU: Kes jenayah penipuan komersial mencatat kerugian RM1.6 juta membabitkan mangsa dari daerah ini sepanjang Januari hingga awal bulan ini.

Jumlah kerugian itu berdasarkan laporan dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Ranau, Pemangku Superintendan Mursalin Mahmud berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah ini berlaku dengan membabitkan pelbagai pihak dan jumlah kerugian yang besar.

Malah katanya, statistik dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ranau juga menunjukkan peningkatan kertas siasatan daripada 2015 hingga tahun ini.

“Daripada nilai yang ditunjukkan, statistik pekerja juga menunjukkan mangsa yang mengalami kerugian datang daripada pelbagai jenis latar belakang.

“Malah mangsa mempunyai latar belakang akademik yang baik juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mursalin berkata, pihaknya menasihati supaya masyarakat tidak mudah terpedaya dengan teknik-teknik yang sering digunakan oleh ‘scammer’.

Jelasnya, apa yang perlu masyarakat khususnya di daerah ini perlu buat apabila menerima sebarang panggilan yang meragukan iaitu jangan layan sebarang panggilan telefon dari nombor atau pihak yang tidak dikenali.

“Selain itu, jangan takut atau cemas jika anda dihubungi dan dimaklumkan bahawa anda terbabit dengan jenayah, pengubahan wang haram, dadah dan sebagainya.

“Beritahu kenalan berkenaan panggilan telefon yang diterima dan jangan percaya pada ugutan Akta Rahsia Raski yang sering digunakan oleh scammer.

“Paling penting jangan dedahkan maklumat perbank atau kewangan anda kepada mana-mana individu. Ingat bahawa penguatkuasa tidak menjalankan siasatan melalui telefon bimbit,” katanya.

Sementara itu, katanya semak dengan menggunakan SEMAKMULE-PDRM bagi sebarang transaksi bayaran yang tidak pasti.

“Rujuk Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ranau jika terlibat sebarang transaksi yang tidak pasti,” katanya. – Info X