RM50 juta bantu orang kampung bayar bil elektrik

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM50 juta untuk membantu penduduk kampung yang menghadapi masalah membayar bil elektrik, mulai tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan perkara itu pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, di sini pada Rabu.

“Inisiatif ini diambil bagi membantu meringankan beban penduduk kampung yang layak dan menghadapi kesusahan dalam membayar bil elektrik mereka.

“Selain itu, mulai tahun depan, kerajaan negeri juga akan membantu sebanyak RM300 kepada ibu bapa miskin tegar di negeri ini selama setahun,” katanya.

Terdahulu beliau berkata kerajaan negeri terus komited menyediakan pelbagai bantuan pendidikan untuk memastikan rakyat negeri ini bukan saja dapat melanjutkan pelajaran dengan lebih sempurna malah mampu bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi.

Ini kerana katanya, pendidikan adalah asas yang sangat penting kepada generasi muda sebagai wadah utama menjadikan mereka pewaris negara yang berkualiti, berilmu dan berakhlak mulia.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian bantuan kepada institusi pendidikan, pelajar termasuk memperkenalkan beberapa bantuan baharu bagi menyantuni anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Antaranya, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah dengan peruntukan berjumlah RM127 juta, yang menyasarkan tajaan seramai 3,850 pelajar baharu yang menuntut di universiti tempatan dan luar negara serta membiayai pelajar tajaan sedia ada pada tahun depan.

“Jumlah ini telah meningkat berbanding RM113 juta yang diperuntukan kerajaan pada tahun ini. Selain itu, untuk tahun 2025, Program Biasiswa, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah memperuntukkan sejumlah RM57 juta untuk 4,500 orang pelajar,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensinya mengambil inisiatif dengan menyediakan pelbagai bantuan pendidikan dan sumbangan seperti tajaan biasiswa, dermasiswa, pinjaman pengajian dan bantuan zakat bagi meringankan beban yang ditanggung ibu bapa.

“Pada hari ini, tawaran tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah turut diberikan kepada seramai 100 pelajar bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Kota Kinabalu.

“Kerajaan turut menyalurkan bantuan melalui Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dengan seramai 100 pelajar turut serta menerima bantuan ini.

“Setakat ini, saya dimaklumkan TPNS telah menyalurkan sejumlah RM8.5 juta dan memberi manfaat kepada seramai 8,000 pelajar.

“Kita juga akan menyampaikan bantuan BISBAH atau Bantuan Ihsan Sekolah Sabah bagi tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM10 juta yang melibatkan semua sekolah di Sabah,” katanya.

Selain itu, katanya turut disampaikan sebahagian Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU).

Sementara itu, katanya kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM79.5 juta untuk bantuan pendidikan secara one off termasuk bantuan agama dan bahasa sastera untuk tahun 2025. – Info X