ATB 2 tahan 6 warga Filipina, gagalkan cubaan seludup petrol RM79,000

SEMPORNA: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak petrol bernilai RM79,000 di perairan Pulau Bum Bum, di sini, pada 14 Disember lalu.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, pasukan operasi turut menahan enam awak-awak tanpa sebarang dokumen pengenalan diri disyaki warga Filipina.

Penglima ATB 2, Brigedier Jeneral Wan Edenin Wan Mahsin berkata, Pasukan Quick Reaction Force (QRF) dari 11 Rejimen Gerak Khas mengesan dua bot bot jongkong yang mencurigakan kerana tidak menggunakan lampu ketika berada di perairan berkenaan pada waktu malam.

Tong berisi petrol yang dirampas pasukan ATB 2 yang cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui perairan Pulau Bum Bum, Semporna.

“Keadaan itu dilaporkan oleh jurumudi bot Viper 02 kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB).

“Susulan laporan itu, POWB mengarah Tim QRF bersama Viper 01 dan Viper 02 untuk mengiringi bot berkenaan ke Jeti Azumi bagi tujuan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam awak-awak yang disyaki warga Filipina tanp sebarang dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 415 tong berisi petrol, empat tong kosong dan satu tong gas, dengan keseluruhan jumlah minyak sebanyak 10,375 liter.

“Kedua-dua bot itu dipercayai cuba menyeludup keluar barangan kawalan ke negara jiran,” katanya.

Katanya lagi, semua awak-awak bersama bot dan barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna untuk tindakan lanjut.

Anggota ATB 2 menahan dua bot jongkong dan enam awak-awak warga Filipina yang cuba menyeludup keluar barangan kawalan di perairan Pulau Bum Bum, Semporna.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM79,268.75 membabitkan dua bot jongkong serta empat unit enjin sangkut,” katanya.

Sementara itu, Wan Edenin mengucapkan tahniah kepada anggota POWB ATB 2 dan Tim QRF atas kejayaan ini dan mengingatkan warga ATB 2 untuk terus mengekalkan kesiapsiagaan operasi pada tahap tertinggi demi memastikan keselamatan perairan negara. – Info X