PH Sabah junjung kasih kepada Agong atas pelantikan TYT baharu

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan baginda menyampaikan Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 kepada Tun Musa Aman, di Istana Negara, hari ini.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, PH Sabah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan dan pengurniaan pingat kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara kepada Musa.

“PH Sabah juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Haji Mahiruddin sepanjang perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-10,” kata kenyataan PH Sabah.

Kenyataan bersama itu mewakili Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick; Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud; Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Pengerusi Amanah Sabah, Lahirul Latigu. – Info X