Lelaki cedera dihempap dahan pokok tumbang di Labuan

LABUAN: Seorang lelaki cedera dan tidak sedarkan diri selepas dihempap dahan pokok tumbang di Jalan Sungai Keling, di sini, petang semalam.

Mangsa berusia 28 tahun dikatakan sedang berjalan kaki bersama rakannya sebelum dahan pokok tumbang dan menghempap mangsa.

Mangsa yang tidak sedarkan diri seterusnya dibawa oleh orang awam ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati dahan pokok patah menghalang jalan utama.

“Saksi memaklumkan terdapat seorang mangsa dihempap dahan berkenaan dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

“Operasi memotong dan memindahkan dahan dimulakan dengan menggunakan gergaji berantai,” katanya.

Menurutnya, operasi tamat jam 6.36 petang. – Info X