TUARAN: Sabah Electricity menyerahkan sumbangan berjumlah RM140,000 kepada badan amal, rumah kebajikan, dan tabung pendidikan dalam majlis yang diadakan sempena Program Sabah Electricity Bersama Komuniti, Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu Cina 2025 hari ini.
Antara penerima sumbangan adalah Gereja Katolik St. John Tuaran, St Marianne Hostel Bantayan, Tokong Sheng Tian Gong Tamparuli, dan Rumah Anak Yatim Home Tuaran, yang masing-masing menerima RM10,000.
Sumbangan terbesar, sebanyak RM100,000, disalurkan kepada Tabung Pendidikan Sabah bagi menyokong pembangunan sektor pendidikan di negeri ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof.
Selain menyerahkan sumbangan, majlis ini juga menjadi platform bagi pihak Sabah Electricity untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat serta mendengar maklum balas mengenai keperluan komuniti.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, serta Pengerusi Sabah Electricity, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ