KOTA KINABALU: Sabah FC sekali lagi terpaksa berkongsi mata dengan pasukan pelawat apabila tetikat 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Skuad Sang Badak juga seri 2-2 di tangan Sri Pahang FC di gelanggang sendiri pada Ahad lalu, memberi gambaran prestasi Sabah yang agak kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.
Perlawanan malam ini menyaksikan Sabah bermula dengan agak baik apabila berjaya membuat hantaran tepat yang disudahi dengan jaringan pada minit keenam menerusi tandukan S Kumaahran.
Bagaimanapun, aksi Sang Badak kurang menyengat selepas mendahului 1-0 berikutan keadaan padang yang berair dan licin menyebabkan hantaran bola sukar menepati sasaran.
Perlawanan malam ini ditangguhkan kira-kira dua jam berbanding jadual asal yang sepatutnya bermula pada jam 7.15 malam berikutan hujan lebat sejak petang.
Pasukan pelawat dilihat lebih bijak mengawal bola bagi mengelak hantaran tersekat akibat padang yang berair, namun gagal mendapatkan gol penyamaan walaupun lebih banyak melakukan serangan sepanjang babak pertama.
Beralih ke babak kedua, permainan kedua-dua pasukan kelihatan seimbang, namun pemain kelihatan agak kepenatan disebabkan keadaan padang yang agak mencabar.
Kedua-dua pasukan berjaya mencipta beberapa cubaan menarik, namun tiada yang menepati sasaran, mungkin berpunca daripada keadaan licin menyebabkan bola mudah tersasar dari gawang.
Bagaimanapun, pasukan pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui penyerangnya, Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-80.
Kedudukan 1-1 itu membuatkan Sabah tertekan untuk mencari gol kedua ketika masa semakin suntuk, ditambah pula asakan pemain Kuala Lumpur yang juga mahu menambah jaringan, namun keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ