Mamut, antara empat taman perlindungan baharu bakal diwujudkan

KOTA KINABALU: Kawasan Mamut, di Ranau yang pernah terkenal sebagai lokasi perlombongan tembaga di negara ini pada 1970-an hingga akhir 1990-an bakal dijadikan taman perlindungan.

Kawasan seluas 2,112 hektar itu adalah antara empat cadangan lokasi taman baharu di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah (TTS) yang sudah diluluskan kerajaan negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, berkata pengwujudan kawasan taman baharu itu bagi melindungi lebih banyak ekosistem semulajadi di negeri ini.

“Usaha ini menunjukkan komitmen berterusan kementerian bagi tujuan konservasi dan melindungi lebih banyak ekosistem semula jadi di Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS), di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.

Christina menyampaikan anugerah kepada kakitangan kementeriannya

Tiga lagi lokasi baharu taman perlindungan yang dicadang di bawah TTS ialah Teluk Darvel (126,475.16 hektar) di Lahad Datu, Mantanani (160,975 hektar) di Kota Belud dan Pulau Mengalum (624,316 hektar) dekat ibu negeri.

Christina berkata langkah mencadangkan pengwujudan taman terbabit sejajar dengan komitmen kerajaan negeri mendukung Kerangka Biodiversiti Kunming-Montreal 2022-2030.

Perkembangan itu adalah antara usaha dilaksanakan TTS sebagai TTS antara jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS)

Bagi Muzium Sabah, katanya jabatan itu berjaya menambah 15,400 koleksi baharu dan mendaftarkan 960 data entri ke dalam sistem digital Sabah Museum Repository Information Cultural Heritage System (SMRICHES) setakat tahun lalu.

“Program permuziuman yang melibatkan pameran, khidmat nasihat dan program outreach ke sekolah-sekolah juga telah dilaksanakan sepanjang tahun 2024.

“Dalam pembangunan fizikal pula, penambahbaikan Rumah Agnes Keith, Kampung Warisan dan Muzium Gua Batu Tulug mencatat kemajuan yang signifikan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Jabatan Hidupan Liar Sabah juga mencatat kemajuan dalam usaha konservasi dengan pelantikan 179 Renjer Komuniti di bawah program Biodiversity Patrolling and Protection (BP3) pada tahun lalu.

Jelasnya, tahun 2024 menyaksikan pelaksanaan Pelan Tindakan Membanteras Jenayah Hidupan Liar selama 10 tahun, khususnya untuk menangani pemburuan haram gajah dan tenggiling.

“Kajian populasi gajah, orang utan, dan monyet bangkatan juga dijalankan bagi memastikan kelangsungan spesies ini.

“Program seperti Hari Tenggiling Sedunia dan Hari Gajah Sedunia telah dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai pemeliharaan hidupan liar.

“Namun, cabaran seperti konflik manusia-hidupan liar dan fragmentasi habitat masih memerlukan penyelesaian jangka panjang dan akan terus menjadi fokus jabatan,” katanya.

Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) pula katanya berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi sepanjang 2024, termasuk Projek Pemetaan Budaya Bersepadu Sabah (2024-2025) yang mengintegrasikan pangkalan data etnik.

Katanya, Hari Etnik Sabah Keempat terus memupuk kerjasama persatuan etnik, manakala Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah menyediakan platform untuk mempromosikan bakat seni tempatan bagi mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai hab warisan budaya yang dinamik.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri komited melaksanakan peralihan kuasa pengurusan buangan terjadual daripada Kerajaan Persekutuan menjelang 2026 di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar kini dalam proses meminda perundangan, mewujudkan garis panduan, membangunkan sistem pemantauan, dan memberikan latihan kepada pegawai untuk menyokong agenda ini.

Pada majlis itu, Christina menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian kepada dua kakitangan kementeriannya, Rupika Latak dan Abdul Hariz Matlah atas pencapaian mereka pada tahun lalu.

Setiausaha Tetap KEPKAS, Datuk Josie Lai turut menyampaikan Anugerah Khas Setiausaha Tetap kepada lima kakitangan kementerian iaitu Norsofianah Mohamad Sapi, Nor Shahidah Abd Rashid, Mohammad Abdul Ghafar Sakiling, Noordelina Abdullah Minun dan Florence Muyao.

Christina turut menyampaikan APC kepada pegawai dan kakitangan dari Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, TTS, Jabatan Hidupan Liar, Jabatan Muzium dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar. – Info X