BELURAN: Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori lain di Jalan Telupid-Sandakan, berhampiran Kampung Bauto, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia selepas tersepit di kabin lori berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.47 malam.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran.
“Pasukan operasi tiba di lokasi pada jam 12.30 tengah malam dan mendapati kemalangan melibatkan Lori Nissan Box 10 Tan yang bertembung dengan Lori Foton Box tiga Tan.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan dan pasukan bomba terus membantu mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.34 pagi,” katanya. – Info X

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ