‘Kerusi DUN Melalap belum kosong’

TUARAN: Status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap belum diputuskan berikutan usaha terbaharu wakil rakyatnya, Datuk Peter Anthony memohon semakan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung hukuman penjara yang dikekalkan mahkamah itu pada 4 Mac lalu.

Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, berkata beliau akan meneliti perkara itu bagi menentukan sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang disandang Peter diisytihar kosong atau tidak.

Jelasnya, Peter mempunyai tempoh selama 14 hari untuk mengambil tindakan susulan bagi mengelak beliau kehilangan kerusi selepas diperintah menjalani hukuman penjara tiga tahun bermula 4 Mac lalu.

“Kita akan membuat keputusan sama ada permohonan itu dibuat dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan dalam perlembagaan negeri.

“Tapi, tempoh itu sepatutnya sudah tamat pada 18 Mac. Jadi, kita beri beliau masa kerana mereka ada memberi notis kepada kita (DUN) bahawa mereka akan membuat satu permohonan akhir,” katanya ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah, di sini, pada Sabtu.

Beliau ditanya mengenai status Peter selepas Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu dilapor memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 pada 4 Mac lalu.

Berdasarkan laporan berita sebelum ini, Peter selaku perayu memfailkan notis usul bersama afidavit sokongan di Mahkamah Rayuan pada 14 Mac lalu menerusi firma guaman Tetuan Kow, Lau & Ezra dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Berdasarkan notis usul itu, Peter memohon mahkamah mengkaji semula dan mengetepikan sabitan serta hukuman dijatuhkan Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lalu di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.

Kadzim berkata, peguam dari pejabat Parti KDM sebelum ini ada menghubungi Pejabat DUN melalui surat mengenai permohonan yang akan dibuat Peter.

“Kita sudah meminta peguam memberikan kami notis itu. Jadi, kita akan lihat tarikh tamat permohonan difailkan, jika tarikhnya selepas 18 Mac, maka beliau sudah kehabisan tempoh 14 hari.

“Jika ia difailkan sebelum 18 Mac, maka ia masih dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan. Jadi, saya perlu tunggu sama ada permohonan itu difailkan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, jika tarikh permohonan Peter itu dibuat selepas tempoh 14 hari, maka kerusi disandangnya secara automatik akan menjadi kosong.

Kadzim berkata, pihaknya sudah memberi notis kepada peguam Peter dan beliau mungkin akan mendapat pengesahan berhubung tarikh permohonan itu pada Isnin atau Selasa ini. – Info X