Beaufort banjir lagi

KOTA KINABALU: Beberapa kawasan rendah di Beaufort kembali dilanda banjir sejak semalam selepas kira-kira seminggu pulih daripada banjir yang menyebabkan hampir 2,000 mangsa dipindahkan bermula 7 Mac lalu.

Banjir kedua dalam bulan ini dan yang ketiga sejak Februari lalu itu setakat pagi ini menyebabkan seramai 268 mangsa daripada 77 keluarga dipindahkan di dua pusat pemindaan sementara (PPS).

Bencana kali ini juga berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman Sabah yang menyebabkan air Sungai Padas di Beaufort meningkat hingga melebihi paras bahaya.

Sementara itu, laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah setakat jam 8 pagi ini menunjukkan tiga daerah dilanda banjir di Sabah.

Anggota APM meninjau kawasan dilanda banjir terbaharu di Beaufort.

Selain Beaufort, dua lagi yang masih ada mangsa berlindung di PPS ialah Sipitang dengan seramai 81 mangsa daripada 32 keluarga dan Keningau seramai 44 mangsa daripada 18 keluarga.

Ia menjadikan seramai 393 mangsa daripada 127 keluarga dipindahkan akibat banjir di tiga daerah setakat jam 8 pagi ini.

Di Beaufort, tiga PPS dibuka setakat ini iaitu di Dewan DSP Mohd Dun Banir yang menempatkan 164 mangsa daripada 45 keluarga dan di Dewan Selagon seramai 104 daripada 32 keluarga.

Selain dua PPS itu, satu lagi PPS iaitu di Dewan Gereja St Seno, Batu 58, Beaufort sudah dibuka, namun belum ada maklumat terkini jumlah mangsa dipindahkan setakat jam 8 pagi ini.

Antara kampung dinaiki air di Beaufort setakat ini ialah Bakalau, Bingkul, Binunuk, Suasa, Bangkalalak, Batu 60, Balibata dan Kampung Lago. – Info X