Dua lagi bekas pegawai institusi kewangan ditahan

SANDAKAN: Dua lagi bekas pegawai institusi kewangan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes pinjaman pembiayaan berjumlah kira-kira RM11.3 juta.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan berikutan siasatan yang dijalankan terhadap lima individu yang ditahan SPRM sebelum ini.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 29 Mei ini selepas dibawa untuk permohonan reman di hadapan Majistret Siti Aisyah Umar Baki pada Jumaat.

Semalam, lima individu termasuk empat bekas pegawai bank direman hingga 28 Mei ini selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada seorang pemilik syarikat.

Suapan itu sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan menggunakan dokumen sokongan palsu. – Info X