KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menegaskan bahawa setiap bentuk pemasangan iklan di sekitar kawasan pentadbirannya wajib mendapatkan kelulusan dan permit sah, sebagaimana diperuntukkan di bawah Kota Kinabalu Municipal Council (Advertisement) By-laws, 1983.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, DBKK menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara telus, adil dan berhemah, susulan beberapa rungutan mengenai tindakan terhadap pemasangan iklan tanpa permit.
“Undang-undang ini telah diwartakan sejak 42 tahun yang lalu dan masih berkuat kuasa sehingga hari ini. Justeru, sebarang bentuk iklan seperti sepanduk, banting, papan tanda atau papan arah memerlukan kelulusan sah daripada DBKK,” jelas kenyataan tersebut.
Walaupun peruntukan undang-undang tidak mewajibkan notis sebelum tindakan kompaun diambil, DBKK menjelaskan bahawa pihaknya lazimnya mengeluarkan notis peringatan terlebih dahulu sebagai langkah mendidik dan menggalakkan pematuhan.
“DBKK tidak berniat menghukum, sebaliknya ingin memastikan bandar raya kekal tersusun, bersih dan bebas daripada lambakan iklan tidak terkawal yang boleh mencacatkan pemandangan dan mengganggu keselamatan awam,” menurut kenyataan itu lagi.
Sebagai usaha memudahkan urusan para peniaga, DBKK telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penyebaran maklumat melalui media sosial rasmi, penerangan semasa permohonan lesen perniagaan, serta penyediaan talian khas untuk sebarang pertanyaan berkaitan pemasangan iklan.
Pihak DBKK turut merakamkan penghargaan kepada para peniaga atas sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi Kota Kinabalu, dan menyeru semua pihak untuk sentiasa mematuhi prosedur sedia ada demi kepentingan bersama.
“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan persekitaran bandar raya kita kekal harmoni, kemas dan teratur,” tambah kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan lanjut atau permohonan rayuan berkaitan lesen iklan boleh dikemukakan kepada Jabatan Pelesenan (Bahagian Iklan), DBKK di talian 088-521800.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ